Lemper

Ok, kali ni bukan nak kongsi resepi. Tapi nak kongsi salah satu makanan kesukaan yang susah nak ditemui. Ye, namanya adalah LEMPER. Sebutan untuk 'e' macam sebut 'emak'. Petang tadi pergi pasar malam dekat Taman Seri Putra, ada pulak lemper ni. Apa lagi; "Makcik, bagi ni 2 hengget." Nak buatnya macam leceh. Macam.. padahal aku tak tau pun camane nak buatnya. Nak jumpa kuih ni waktu kenduri kahwin. Itupun tengok keadaan. Tak semua tempat orang 'mantu' ada. Penentu kesedapannya adalah tang inti. Kadang-kadang ada yang ngelat, buat inti macam pulut panggang. Nanti la, nak cari sifu yang pandai buat lemper ni macam Embah As. Tapi segan pulak nak tanya. Hahaha... Beli jelah sementara ada.

Tengok cara bungkusnya, lain dari yang lain.

Dah bukak, ada lagi 'baju dalam' dia..

Intinya yang sedap!

Puteri Ayu

Selepas sekian lama bercita-cita nak buat kuih ni, akhirnya malam tadi terlaksana jugak. Siap beli acuan baru tu sebab acuan yang arwah mak beli dulu tak dapat ditemui. Semangat mencari kelapa parut dari hujung ke hujung baru jumpa. Jadi, lepas maghrib masuk dapur nak adun kuih ni. Senang je nak buatnya cuma kena sabar sikit la. Insiden tak boleh belah waktu buat kuih ni adalah, pewarna hijau dah habis. Merosakkan mood sungguh. Semua dah siap dah ni, tinggal nak letak warna hijau je. Terus tukar baju, sarung tudung semua, pecut gi kedai beli pewarna hijau SAHAJA. Sengal sungguh. Abah kata, ambik je la daun pandan kat luar tu. Ish, satu kerja la pulak nak meraba dalam gelap dan mengisar bagai. Selepas bersusah payah, dapat jugak siapkan kuih ni. Aku guna resepi kat bawah ni ye...



Bahan-bahan:
5 biji telur (saiz kecil) - aku guna 4 biji telur saiz besar
250gm tepung gandum
300gm gula
2 camca teh ovallate
1 camca teh baking powder
250ml santan
Pewarna hijau
2 camca teh paste pandan
Kelapa putih secukupnya (digaul dengan sedikit garam dan tepung ubi)

Cara membuat:
1. Panaskan kukusan.
2. Pukul telur, gula dan ovalette hingga kembang dan ringan.
3. Masukkan santan, tepung gandum, baking powder, paste pandan, dan pewarna hijau. Gaul rata.
4. Sapukan sedikit minyak pada acuan. Mampatkan kelapa dan tuangkan adunan. Letak penuh-penuh pun boleh sebab dia tak kembang sangat.
5. Kukus dalam 5 ke 10 minit.
6. Selepas dikeluarkan dari kukusan, tunggu kejap baru keluarkan dari acuan.

Lembut dan gebu saja puteri ayu. Cuma yang aku buat ni, rasanya pelik sikit. Macam ada pahit-pahit dan tak wangi pandan. Kenapa ek? Terlebih perasa pandan kah? Lain kali nak cuba letak air pandan tengok wangi ke tak. LAIN KALI? Bila tu? Hahaha.. Baiklah, selamat mencuba.

Ikan Masak Laprik

Pelik tak nama dia? Selalu dengar paprik kan? Tapi yang ini LAPRIK tau. Orang lain masak ni dengan ikan siakap atau talapia, tapi aku guna ikan merah. Alkisahnya, Sabtu lepas aku teringin nak buat sup ikan merah. Keluar nak cari ikan pun dah tengah hari, apa jadah pulak pasar basah masih bukak kan? Jadi pergi Econsave je la. Cari-cari ikan merah, tak nampak la pulak. Dah la manusia bersesak-sesak. Terus surrender tak beli ikan merah. Petangnya, Abang Paiz nak keluar, jadi pesan kat dia suh beli ikan merah kalau terjumpa. Sekali dia beli ikan merah yang kecik, (sebesar saiza siakap) bukan yang dah siap potong. Jadinya, memang taubat lepas ni tak nak beli ikan besar yang belum siap siang sebab leceh nak mengurus. Nak buang sisik lagi, nak buang perut lagi. Heh, baik suruh penjual ikan tu siang siap-siap. Ok, mari zasss resepi.



Bahan-bahan
Ikan merah/siakap/talapia/bawal (lumur dengan garam+halia tumbuk+kunyit dan goreng hingga masak)
2 sudu cili giling
5 biji cili api hijau (kalau nak pedas, boleh tambah lagi)
5 biji bawang putih
3 biji limau kasturi-ambil jusnya (saiz besar ek, kalau kecik tambah lagi beberapa biji)
3 biji bawang merah-dijadikan bawang goreng
setangkai daun sup-dihiris
setangkai daun bawang-dihiris
sedikit daun ketumbar
garam dan gula secukup rasa
sedikit air

Cara memasak:
1. Tumbuk lumat cili api dengan bawang putih.
2. Tumis cili giling hingga pecah minyak dan masukkan bahan tumbuk.
3. Masukkan jus limau dan sedikit air supaya masakan tak terlalu garing.
4. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
5. Kemudian, masukkan bawang goreng, dan daun-daun tadi.
6. Akhir sekali, masukkan ikan dan golekkan sikit-sikit supaya bahan tumisan mesra dengan ikan. Biarkan kejap dan tutuplah api.
7. Makan dengan nasi panas. Sedapp..!

*Gambar kemudian la ye macam biasa. Haha..

Muffin Pisang

Pisang kat dapur dah mula benyek. Cekodok baru makan, maka buatlah muffin ni. Senang sangat. Tak perlu guna mixer pun. Campak-campak dan gaul. Siap..!



Bahan-bahan:
A
2 cawan Tepung Gandum
2 camca Baking Powder
1/2 camca soda bikarbonat
1/2 camca Garam
3/4 cawan Gula (aku kurangkan sebab pisang dah manis)

B
1 biji telur - pukul sikit
1 cwn Susu segar
1/4 cawan Minyak

Secawan pisang lenyek
1 camca esen pisang

Cara membuat:
Panaskan ketuhar dulu sebelum mula memproses bahan-bahan.
1. Ayak bahan A kecuali gula dan satukan dengan gula dalam mangkuk.
2. Gaul sikit dan buat lubang.
3. Masukkan bahan B dalam lubang yang dibuat dan gaul hingga sebati.
4. Masukkan pisang lenyek dan esen pisang.
5. Gaul lagi hingga sebati.
6. Sudukan adunan kedalam mangkuk kertas hingga 3/4 penuh dan bakar selama 20 - 25 minit atau hingga masak.
* Kalau suka, boleh letak hirisan pisang atas mufin anda sebagai hiasan.

Kimchi

Hebat sungguh penangan cerita Korea. Kerana pengaruh cerita Korea lah aku buat Kimchi ni. Sebab? Nampak macam sedap je dalam TV tu. Hehehe.. Alkisahnya, semalam waktu pergi Econsave, tak tau nak beli sayur apa. Tiba-tiba nampak Nappa Cabbage yang besar-besar macam untuk buat Kimchi tu. Terus aku capai dan timbang. Resepi pun ingat-ingat lupa. Tapi rasanya semua bahan yang diperlukan dah ada kat rumah kecuali serbuk cili. Jadinya, beli jugak serbuk cili yang paket kecik. Resepi ni macam yang aku tengok dalam blog Izlan Sazali. Dia ni kawan sekolah waktu kat Maahad dulu. Fanatik dengan Korea gamaknya. Hehehe..

ini la rupa nappa cabbage tu



Bahan-bahan:
1/2 Nappa Cabbage (guna separuh je sebab takut tak kena kat tekak rasa kimchi ni)
Garam
2 ulas bawang putih (cincang halus)
1/2 inci halia (cincang halus)
Beberapa rumpun daun bawang
Serbuk cili (ikut tahap kepedasan yang dikehendaki)
1 sudu gula
1 sudu sos ikan

Cara membuatnya.
1. Basuh kobis hingga diyakini kebersihannya. Bahagikan kepada 4 bahagian kobis tu dan potong kecik-kecik, sebesar saiz muat-masuk-dalam-mulut atau orang putih kata bite size.
2. Letak satu lapisan kobis dalam mangkuk besar dan tabur garam satu lapis atas kobis. Kemudian buat lagi satu lapis kobis diikuti satu lapis garam. Buat la berlapis-lapis sampai habis.
3. Kemudian, gaulkan kobis berlapis tadi dan kukus selama 5 minit.
4. Dah sudah kukus, toskan air kobis dan letak balik dalam mangkuk.
5. Masukkan semua bahan-bahan lain dan gaul rata. Rasa la sikit kimchi tu nak pastikan dah cukup bahannya.
6. Masukkan dalam balang dan simpan dalam peti. Nak terus makan pun boleh je.

Bila nak tulis balik resepi Kimchi ni, baru perasan yang aku tersalah langkah sikit. Hehe.. Patutunya kalau kukus tak payah letak air. Tapi aku letak air pulak. Ah, janji menjadi. Aku buat ni ngelat tak ikut cara tradisional. Kalau ikutkan, Kimchi kan tak dimasak. Sebab malas nak peram lama-lama, kukus lagi sonang. Haha.. Eh, kalau nak tengok cara pembuatan yang lain, boleh la tekan kat nama Izlan Sazali tu dan tengok la cara yang lain ye. Selamat mencuba..! :)

Begedil

Dah lama nak cuba buat begedil ni sebab bila makan yang kat kedai, rasanya tak macam yang arwah mak buat. Jadinya semalam dengan berbekalkan resepi ingat-ingat lupa waktu tolong mak buat dulu, mencubalah daku membuat begedil. Ini kira bahan campak-campak aje tau.

Bahan-bahan
900gram kentang (ini memang timbang sebab tiba-tiba rasa nak timbang..hehe)
20 ulas bawang merah (dihiris dan digoreng)
10 ulas bawang putih (dihiris dan digoreng)
1 camca udang kering (digoreng)
1 camca lada putih (ditumbuk halus)
5 kuntum bunga cengkih
2 biji buah keras
Sedikit daun sup (ini aku sesaja letak)
Garam secukup rasa
Sebiji telur (untuk digunakan waktu nak goreng begedil)

Cara membuat:
1. Kupas kentang dan potong ikut suka. Goreng hingga masak.
2. Tumbuk kentang hingga hancur hingga masukkan dalam mangkuk besar.
3. Tumbuk bawang goreng dan udang kering sehancur mungkin dan masukkan ke dalam kentang.
4. Cengkih dan buah keras pun ditumbuk halus dan dimasukkan ke dalam kentang.
5. Racik halus daun sup dan campurkan dalam kentang.
6. Masukkan lada putih dan garam dalam campuran kentang dan bahan-bahan lain. Gaul hingga sebati.
7. Kemudian, bentukkan. Untuk adunan ni, dapat la 16 ketul begedil yang sederhana besar.
8. Celupkan begedil dalam telur yang telah dipukul. Goreng hingga kekuningan dan makan la dengan nasi panas. Sodap..!



Bagi lidah aku, ada la rasa iras-iras begedil arwah mak. Kira boleh la buat ubat. Sesiapa yang rajin nak duduk dalam dapur lama-lama, silalah cuba. Kepada Dyaz, aku teringat kat ko waktu makan begedil ni sebab ni favourite ko kan? Hehehe... Gambarnya, nanti-nanti la ek, malas lagi nak pindahkan dari kamera.

Dapur Baru

Assalamualaikum w.b.t... Selepas sekian lama memeram Dapur Cinta dengan niat untuk mencantikkan dan memperelok rupanya, hari ini Dapur Cinta dapat dibuka secara rasminya untuk memudahkan aku mencatat resepi-resepi yang telah dicuba. Kenapa Dapur Cinta? Kerana rasanya itulah nama yang cantik untuk laman blog baru ini yang dikhaskan untuk sesi masak-memasak ini.  InsyaAllah resepi-resepi dari Atas Nama Cinta akan dipindahkan ke sini secara berperingkat.

Powered by Blogger.